U Click Me...I Click U Back

Sunday, May 11, 2014

Klia2: AirAsia kenakan caj tambahan baharu RM3

Pesawat Air Asia mula beroperasi di klia2, Sepang, semalam. - utusan/Zaki Amiruddin

SEPANG 9 Mei - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. dan AirAsia X akan mengenakan caj tambahan baharu kepada semua penumpangnya yang menggunakan terminal klia2 bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia, Aireen Omar (gambar) berkata, pihaknya akan mengenakan caj sebanyak RM3 kepada setiap penumpang berikutan penggunaan sistem daftar masuk baharu yang disediakan oleh pengendali terminal tersebut, Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB).

Beliau berkata, caj tambahan baharu itu perlu dibayar oleh penumpang selain daripada beberapa caj dan cukai lain yang dikenakan oleh syarikat penerbangan tambang murah tersebut.

"Ketika beroperasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) kami menggunakan sistem daftar masuk sendiri tetapi di klia2 kami terpaksa menggunakan sistem SITA iaitu satu sistem daftar masuk yang disediakan oleh MAHB.

"Selepas dibuat pengiraan, caj sebanyak RM3 terpaksa dikenakan bagi setiap penumpang dan bagi mengelakkan kekeliruan di antara caj itu dan cukai lapangan terbang pihak kami akan menukarnya dengan istilah lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian hadiah bagi pemenang kempen Twitter #noweveryonecanfly sempena operasi pertama AirAsia dan AirAsia X di klia2 di sini hari ini.

Menurut Aireen, caj RM3 itu tidak termasuk bayaran penggunaan jambatan udara yang turut dikenakan kepada penumpang ketika proses tempahan tiket penerbangan.

"Sebenarnya MAHB yang membuat kenyataan bahawa caj penggunaan jambatan udara ini sebanyak 25 sen tetapi kita ada pengiraan sendiri untuk menetapkan kadar caj yang akan dikenakan kepada penumpang berdasarkan beberapa faktor antaranya kekerapan, jenis pesawat, muatan dan lain-lain lagi," katanya.

Dalam pada itu, mengulas operasi pertama di klia2 hari ini, Aireen berkata, penerbangan pertama pesawatnya berjalan lancar kecuali terdapat beberapa kekeliruan berikutan pertama kali menggunakan terminal tersebut, namun yakin masalah itu dapat diselesaikan dengan segera.

Sementara itu, operasi pertama penerbangan AirAsia X dikatakan tidak berjalan lancar berikutan terdapat beberapa masalah yang timbul dan syarikat terbabit menyatakan akan meneliti perkara tersebut dengan pihak MAHB untuk diselesaikan segera.

Semalam, kedua-dua penerbangan murah itu menamatkan operasinya selama lapan tahun di LCCT menerusi penerbangan terakhir AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kolkata dan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Jeddah, masing-masing pada pukul 10.30 malam dan 2.35 pagi ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/

1 comment:

LydSunshine said... Reply Comment

cas le selagi boleh cas. Dia tau kalo dia cas pon org tetap akan gunakan jugak airasia. KLIA2 tu katanya sangat besar,