U Click Me...I Click U Back

Wednesday, December 2, 2009

Cikgu ohhhh Cikgu!!!

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Sikap guru yang membosankan dan tidak tahu menggunakan pendekatan psikologi bagi menarik perhatian pelajar menjadi punca kepada kegiatan ponteng sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, situasi itu terjadi disebabkan ada antara guru tidak ikhlas melakukan pekerjaan itu.

Menurutnya, segelintir guru ini tidak berminat menjadi guru namun ekoran ketiadaan pilihan lain, mereka terpaksa menerima pekerjaan berkenaan.

''Apabila tiada minat, mereka ini sekadar melepaskan syarat sahaja mengajar murid-murid di sekolah tanpa ada sebarang kesungguhan dan komunikasi dua hala.

''Inilah punca sebenarnya membuatkan pelajar berasa bosan berada dalam kelas,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai 178 murid ditahan di kafe siber dalam Operasi Ponteng Ayuh Ke Sekolah! di sekitar Sri Rampai, Keramat dan Wangsa Maju di sini kelmarin.

Salah seorang murid terbabit memberitahu, dia bertindak demikian kerana bosan berada dalam kelas.
Hashim menegaskan, kumpulan guru seperti ini perlu mengubah sikap dan memperbaiki diri bagi memikat pelajar untuk datang ke sekolah.

''Jangan kerana tidak ada minat maka pelajar-pelajar ini menjadi mangsa pemberontakan mereka.

''Cara ini salah, mereka perlu mencari jalan agar pelajar-pelajar ini mempunyai minat untuk belajar selain bantuan yang diberikan oleh ibu bapa,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, pula berpendapat, kegiatan ponteng sekolah berlaku kerana tiada aktiviti dianjurkan oleh pihak sekolah pada penghujung akhir tahun.

''Guru pada masa ini sibuk kerana terpaksa memeriksa kertas peperiksaan akhir tahun di samping penyeliaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,'' katanya.

Beliau berkata, waktu senggang pelajar pada masa ini amat sesuai diisi dengan program bermanfaat seperti kegiatan sukan, kelas kemahiran teknologi maklumat (IT) dan aktiviti perkhemahan.

''Maka saya menyeru Kementerian Pelajaran supaya dapat memikirkan sesuatu bagi mengatasi masalah ini.
''Banyak perkara dapat dilakukan oleh pelajar-pelajar ini daripada membuang masa tidak berbuat apa-apa di sekolah,'' katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments: