U Click Me...I Click U Back

Monday, September 7, 2009

Melatih Anak Berpuasa

salam semua,

BUKAN hanya golongan dewasa menantikan hadirnya Ramadan malah juga bagi sebilangan kanak-kanak.

Ada juga si kecil yang tidak sabar belajar berpuasa bersama ibu bapa. Ibu bapa yang bijak pula wajar berperanan memastikan ibadat puasa diamalkan anak sejak mereka kecil walaupun puasa tidak wajib bagi kanak-kanak belum baligh.

Tidak salah melatih mereka sejak awal sebagai persediaan menunaikan ibadat berkenaan secara sempurna apabila baligh nanti.

Melatih anak berpuasa bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melaksanakannya. Tidak kurang ada ibu bapa terpaksa berhadapan dengan anak yang sudah sepatutnya berpuasa, tetapi belum melaksanakannya dengan alasan tidak mampu menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Ada pelbagai cara boleh disarankan supaya anak rajin berpuasa dan seeloknya, setiap ibu bapa digalakkan mendidik anak berpuasa dengan cara menyeronokkan.

Didikan itu boleh dimulakan dengan melatih anak berpuasa separuh hari terlebih dulu. Untuk keesokan harinya, panjangkan pula tempoh berkenaan. Begitulah seterusnya hingga dia berjaya berpuasa penuh sehari.

Ini dapat mengelakkan anak daripada rasa dipaksa. Selain itu, beri galakan dan semangat untuk anak seronok berpuasa.

Cara terpenting melatih mereka berpuasa hendaklah dimulakan dengan niat. Kebanyakan ibu bapa lupa kedatangan Ramadan adalah waktu terbaik untuk mendisiplinkan anak kerana berpuasa pada bulan ini banyak melatih mereka bersabar dan berdisiplin.

Panduan menggalakkan anak berpuasa:

# Latih sedikit demi sedikit. Jika hari pertama si kecil itu berjaya menahan lapar dan dahaga separuh hari, keesokannya cuba panjangkan tempoh berpuasa sehingga anak berjaya puasa sepenuhnya.

Usah lupa berikan ganjaran serta pujian di samping hadiah untuk menggalakkan mereka berpuasa.

# Bagi anak kecil yang berpuasa, raikan mereka ketika berbuka dan bersahur supaya mereka dapat bersama berdoa serta berkongsi kegembiraan dengan keluarga.

# Ajar anak berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dalam urusan berbelanja untuk berbuka, bersahur serta persiapan hari raya.

# Ajar anak untuk mengeratkan silaturahim dengan keluarga, jiran dan sahabat handai seperti mengadakan majlis berbuka puasa bersama serta meningkatkan amalan bersedekah.

# Berbuka bersama keluarga di rumah. Hidangkan makanan yang digemari anak kerana ini boleh menimbulkan keseronokan.

# Selepas berbuka, amalkan niat berpuasa bersama keluarga. Anak kecil akan berasa lebih seronok.

# Kejutkan anak untuk bersahur. Bangun pagi untuk menikmati makanan adalah sesuatu yang baru bagi kebanyakan kanak-kanak.

# Jangan biarkan si kecil begitu aktif termasuk bermain kerana ini boleh memenatkan mereka.

# Pastikan jika anda mempunyai anak kecil berusia empat tahun atau kurang, jangan biarkan mereka makan di hadapan anak yang sedang berpuasa.

# Kurangkan menonton televisyen kerana ada banyak iklan makanan yang mungkin boleh menggugat si kecil.

# Menghias rumah dan membersihkan keperluan ibadat seperti sejadah, songkok serta telekung supaya anak dapat berasakan kepentingan bulan yang mulia ini.

# Bercerita sejarah wajib puasa, syarat, rukun dan sunnah di samping hikmah berpuasa supaya anak melakukan ibadat dengan penuh kefahaman serta penghayatan.

# Ingatkan anak supaya menjalani ibadat puasa dengan penuh sabar. Pesan pada mereka, Allah sentiasa bersama dan melihat setiap perbuatan mereka. Latih jiwa anak untuk reda dengan perintah Allah, ikhlas beramal dan menjaga pantang larang berpuasa setiap masa.

# Jaga solat fardu lima waktu dan menunaikan solat berjemaah. Bawalah anak untuk bersolat fardu dan tarawih berjemaah di masjid. Bagi ibu yang tidak dapat ke masjid kerana anak kecil, mereka boleh solat fardu dan tarawih berjemaah bersama anak perempuan di rumah.

# Beritahu anak, al-Quran diturunkan pada Ramadan, jadi kita perlu mengingatkan anak supaya menghidupkan Ramadan dengan banyak membacanya.

# Sebaik-baiknya, ajak anak bertadarus bersama supaya dapat memperbetulkan tajwid dan pemahaman anak terhadap al-Quran. Mereka juga boleh digalakkan menghafal surah pendek.

# Ingatkan anak kelebihan 10 akhir Ramadan dan tidak meninggalkan takbir raya kerana terlalu sibuk dengan persiapan pada hari berkenaan. Sambutlah ia dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Hati/20090902101855/Article/index_html

p/s : alhamdulillah, anak2 dara aku yg umo 8 n 6 tahun tu so far masih berpose penuh lagi, syukur

No comments: